Thursday, April 4, 2019

TAJUK 13: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN


Tajuk 13: Pengurusan alam pembelajaran

PENDAHULUAN

Menurut Haji Samsudin bin Md Noor, pengurusan bermaksud satu proses untuk mendapatkan penyertaan, kerjasama dari semua ahli dalam mencapai matlamat kumpulan.

Menurut Lee Shok Mee (1993), alam pembelajaran bermaksud keadaan atau suasana belajar yang dapat meransang minat belajar kanak-kanak dalam mencapai matlamat perubahan tingkah laku kearah positif dan daripada tingkah laku kepada tahu.

Menurut Noraisah Ibni Qasim, pengurusan alam pembelajaran penting bagi memenuhi masa yang diperuntukkan untuk mengajar, memastikan objektif pembelajaran dan pengajaran tercapai serta tidak membosankan kerana dapat menarik perhatian pelajar terhadap pengajaran tersebut.

ISI-ISI PENTING

1. Etika pemakaian guru
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 6/1985 bertajuk Peraturan Pakaian Guru Di Sekolah/Pensyarah Di Maktab Perguruan, Politeknik, Lain-lain Pegawai Dan Kakitangan Perkhidmatan Pelajaran Di Pejabat Pelajaran Daerah Atau Bahagian, Jabatan Pelajaran Negeri Dan Kementerian Pelajaran bertarikh 9 Mei 1985 ada menyatakan tentang garis panduan pemakaian guru lelaki dan wanita.

Menurut surat pekeliling ini, sebagai golongan pendidik, guru-guru dan lain-lain pegawai perkhidmatan pelajaran sentiasa mencuri tumpuan pelajar dan masyarakat sama ada di dalam mahupun di luar kawasan sekolah. Golongan ini sememangnya mempunyai pengaruh yang besar ke atas pendidikan pelajar-pelajar serta masyarakat. Oleh itu, guru-guru patut mengenakan pakaian yang sesuai dan sewajarnya apabila bertugas di dalam mahupun di luar sekolah.

Di samping mengenakan pakaian yang kemas dan bersih, guru-guru perlulah memakai pakaian yang bersesuaian seiring dengan profesion sebagai seorang pendidik. Ini adalah kerana pakaian melambangkan disiplin dan imej profesion perguruan itu sendiri. Oleh itu, berikut adalah peraturan pakaian yang telah ditetapkan.

Guru Lelaki
i - Seluar panjang dan berbaju kemeja (digalakkan bertali leher) atau 'bush-jacket' atau 'lounge suit'. Jika berlengan panjang, tangan baju itu hendaklah jangan dilipatkan. Baju hendaklah dimasukkan ke dalam.
ii - Kasut kulit atau lain-lain kasut yang sejenis dengannya.
iii - Pakaian baju melayu lengkap dengan samping, atau pakaian baju yang mirip dalam potongan baju melayu dan dipakai dengan seluar panjang.
iv - Pakaian baju melayu dengan kain sarong, 'jeans', 'track suit', seluar pendek, kemeja T/sukan, jersi, kasut sukan, baju Hawaii, baju batik, selipar, kasut getah dan lain-lain jenis pakaian yang menjolok mata, tidak boleh dipakai.
Guru Perempuan
i - Pakaian kebangsaan atau pakaian kaum masing-masing dan lain-lain jenis pakaian yang sesuai dan tidak menjolok mata.
ii - Kasut kulit, selipar, cerpu atau yang sejenis dengannya yang mempunyai bentuk yang sesuai dengan pakaian yang ditetapkan.
iii - Kasut sukan, 'jeans', 'slacks', 'track suit', kemeja T/sukan, jersi, seluar pendek dan apa-apa pakaian yang menutup muka serta lain-lain pakaian dari jenis kain jarang dan menjolok mata, tidak boleh dipakai.

2. Kemahiran asas yang perlu ada pada guru

Terdapat beberapa ciri-ciri khusus yang perlu dimiliki oleh setiap guru abad ke-21 ini. Antaranya ialah menguasai sepenuhnya ilmu yang ingin dicurahkan kepada murid. Guru haruslah menguasai kandungan kurikulum bagi subjek yang akan diajar. Jika guru kurang menguasai subjek yang diamanahkan, kesannya guru akan tidak bersedia dan terkial-kial untuk menerangkan sesuatu kandungan dalam subjek yang diajarinya kepada murid.

Selain itu, guru perlulah mahir dan berketrampilan dalam pedagogi serta memahami perkembangan dan menyayangi murid-muridnya. Guru yang mahir dalam menggunakan pelbagai kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang betul semasa menjalankan PnP di dalam kelas tentu akan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan mesra pelajar. Psikologi pendidikan juga menerapkan kepentingan bagi seseorang guru untuk faham akan perkembangan muridnya, serta mampu menyayangi mereka seadanya.

Guru juga perlu berkemahiran untuk memahami psikologi pembelajaran bagi para pelajarnya. Hanya dengan memahami bagaimana minat dan respon pelajar ketika belajar, maka akan membantu seseorang guru itu untuk berfungsi dengan lebih baik sebagai seorang pendidik. Sebagai tambahan, guru perlu mempunyai kemahiran kaunseling ketika berurusan dengan pelajar. Kemahiran ini akan dapat membantu pelajar dalam menangani emosi, masalah sosial dan juga pelbagai lagi perkara yang sering dihadapi oleh remaja. Kemahiran ini akan menjadi salah satu kelebihan untuk guru yang memiliki kemahiran kaunseling dalam menangani isu-isu yang berkaitan dalam dan luar bilik darjah.
Seterusnya, kemahiran asas lain yang wajar guru miliki ialah cekap dalam menggunakan teknologi terkini. Hal ini demikian kerana teknologi IT merupakan salah satu ciri penting bagi guru abad ke-21. Selain daripada murid yang memang semakin mahir dalam penggunaan gajet dan pelbagai alatan elektronik lain, oleh itu guru juga perlulah seiring dalam menggunakan kelebihan ini untuk menarik minat pelajar di dalam kelas. Tegasnya, pembelajaran yang menggunakan LCD dan aplikasi atas talian di alam maya sudah tentu membawa kelainan kepada suasana pembelajaran di dalam kelas.



3. Tiga aspek alam pembelajaran (fizikal, psikososial, ciri-ciri komuniti pembelajaran)

Komponen fizikal termasuklah semua aspek fizikal seperti bilik darjah, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran, kemudahan di dalam dan di luar bilik darjah. Menurut Tessmer dan Harris (1992), persekitaran fizikal adalah berkaitan dengan sesuatu perkara yang kita boleh rasa, kualiti deria, dan objek yang kita temui. Antaranya ialah perabot bilik darjah, ruang, cahaya, kualiti udara dan teknologi, termasuklah bahan-bahan pengajaran dan kemudahan dalam persekitaran pembelajaran.

Manakala komponen psikososial pula berkaitan dengan interaksi yang berlaku antara pelajar dengan pelajar, pelajar dengan guru dan pelajar dengan persekitaran. Persekitaran psikososial bilik darjah melibatkan guru dan pelajar dan hubungan antara satu sama lain. Aspek psikososial dalam persekitaran pembelajaran termasuklah kelakuan dan interaksi pelajar dan guru di dalam bilik darjah tersebut dan meliputi aspek keselamatan, kesihatan, kemesraan, keceriaan, kawalan disiplin dan unsur kemanusiaan yang lain. Kedua-dua komponen ini saling melengkapi antara satu sama lain dalam mencipta dan membentuk satu persekitaranpembelajaran dan mempengaruhi proses pembelajaran yang berlaku di dalamnya.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, pengurusan alam pembelajaran ini perlu dititikberatkan oleh para guru supaya minat para pelajar dapat dipupuk dengan mudah. Selain itu, segala pemindahan maklumat akan berjalan lancar sekaligus meningkatkan pencapaian para pelajar.

Guru sebagai penggerak dan pendorong, pembimbing, perancang, pemupuk semangat dan pembentuksahsiah murid. Dalam memenuhi tanggungjawab ini, guru bukan hanya perlu memilih strategi pengajaran yang berkesan, malah perlu memberi penekanan terhadap aspek bahan pengajaran yang dibawa ke dalam bilik darjah ataupon luar bilik darjah.

Pendidikan dilihat sebagai saluran untuk menyampaikan ciri-ciri masyarakat dan kebudayaan ke dalam minda generasi muda. Hal ini bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, aspek kebudayaan dan masyarakat perlu dititikberatkan kerana pelajar secara realitinya hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya.

RUJUKAN
Standard pemakaian bagi seorang guru. Laman sesawang http://www.cikguhailmi.com/2016/01/6-ciri-ciri-guru-abad-ke-21.html. Dicapai pada 1 April 2019.
Kemahiran tambahan bagi seseorang guru. Laman sesawang https://www.gpsbestari.com/artikel/rencana/pekeliling-tatacara-pemakaian-guru-lelaki-dan-perempuan-1.775060. Dicapai pada 1 April 2019.

No comments:

Post a Comment

GAMBAR AHLI KUMPULAN 6

Dari kiri, Fatimah Hamizah Binti Abdul Shukor ( D20181083523), Fatin Binti Itam (D20181083021), Mohamad Jalil Hakimi Bin Hassan (D2018...